petikan dari kembar artakus

Petikan dari Novel ketiga dalam siri saga Artakusiad: Kembar Artakus Karya Ahmad Patria Abdullah

Tidak lama kemudian aku pun sampai ke pintu gerbang kota. Kelihatan samar-samar susuk tubuh manusia tercegat di sisi seekor kuda di tepi jalan yang menuju ke pusat kota. Aku memperlahankan Ilia. Aku dapat mengagak bahawa orang itulah yang ingin bersua muka denganku.

"Artakus?"

Suara itu meluru ke arahku dari bibir yang tidak kelihatan, kerana ditenggelami kegelapan malam. Hatiku berdetak. Aku tidak dapat melihat wajah orang yang menegurku, tetapi aku sangat kenal suaranya. Seribu perasaan menerkam ke pintu hatiku dan membangkitkan gelora yang sudah sekian lama reda. Lekas-lekas aku turun dari pelana lalu bergegas ke arah dia yang menantiku.

"Laira?" Aku masih kurang percaya dengan kehadirannya disitu.

"Tidak ingatkah kau padaku?" ujarnya sambil melangkah keluar dari kehitaman malam ke bawah sinaran lampu-lampu kota.

Mataku terpaku ke wajahnya buat beberapa ketika. Cahaya lampu-lampu kota berbayang dalam sinar matanya yang lembut. Keningnya yang halus dan panjang terangkat sedikit, mengukir pertanyaan yang menuntut jawapan dariku. Ulas bibirnya yang manis menguntum senyum yang memikat hati. Air mukanya yang jernih jelas kelihatan dalam kesamaran malam. Rambutnya yang panjang sekali-sekala mengerbang ditiup angin malam. Pakaiannya comot sedikit, mungkin kerana perjalanannya yang jauh.

Aku tidak dapat berkata-kata. lidahku kelu kerana terperanjat. Aku sama sekali tidak menduga kedatangannya ke Arialun. Dalam waktu yang singkat berbagai-bagai perasaan berkecamuk dalam kesepian hatiku. Kemudian perasaanku melonjak-lonjak kegembiraan.

Laira! Betapa aku merinduimu!

"Aku masih ingat padamu, Laira." ujarku dengan nada yang lembut kerana gembira. Aku memandang ke arahnya sambil mengukir senyum. Apakah kau kira waktu yang berlalu akan dapat melenyapkan senyumanmu yang manis daripada ingatanku?"

"Artakus! Masih seperti dahulu. Terlalu gemar mengusik gadis sepertiku dengan bicara yang manis," katanya kembali dalam ketawa. Namun matanya dilarikan dariku dan aku melihat dia tunduk tersipu-sipu.

"Bukankah itu sebahagian daripada kewajipanku?" ujarku, berpura-pura serius.

"Dan kewajipanku pula ialah untuk, menerimanya, begitu?" Renungan Laira mencucuk hatiku, pertanyaannya yang lembut sukar untuk dijawab.

"Bukan. Kau sepatutnya jatuh hati kepadaku," sahutku mengusiknya. Buat sejurus, Laira tidak berkata apa-apa. Dia tercengang mendengar kata-kataku. Kemudian perlahan-lahan pipinya ditinta warna merah yang lembut, seperti bunga mawar di pagi hari. Tiba-tiba wajahnya berubah, seolah-olah dia teringatkan sesuatu. Lekas-lekas dia menghampiriku lalu mengamatiku dengan teliti. Rasa hairan timbul dalam hatiku.

"Kenapa Laira?" tanyaku, ingin tahu.

"Kau tidak cedera, Artakus?" soalnya kembali tanpa menjawab pertanyaanku. Rasa hairanku bertambah.

"Tidak," jawabku. "Mengapa kau bertanya?"

Laira tidak menjawab soalanku dengan serta merta. Sebaliknya dia terus memerhatikan diriku buat beberapa ketika, seolah-olah dia kurang percaya dengan jawapan yang telah kuberikan kepadanya. Kemudian setelah dia berjaya meyakinkan dirinya baharulah dia mengatur ayat buat menjawab pertanyaanku.

"Beberapa hari yang lalu seorang utusan dari Arialun telah membawa berita ke Lembah Takaryan. Katanya ada orang cuba membunuhmu," ujar Laira dengan suara yang perlahan. Aku termenung mendengar percakapannya. Begitu cepat berita dari Kota Arialun tersebar ke Lembah Takaryan. Aku sedar bahawa Atinius ada mengatur sistem perhubungan dari kota ke lembah, tetapi kepantasan perkhidmatannya itu mengagumkan aku.

"Adakah berita itu yang mendorong kau ke mari?" tanyaku dengan lembut. Laira tidak menyahut. Sebaliknya dia menyembunyikan wajahnya daripada pandangan mataku. Meskipun dia tidak berbicara, namun kebisuannya memberi sebuah pengertian yang sungguh dalam tafsirannya. Aku membiarkan soalan itu berlalu tanpa jawapan. Aku dapat mengagak kata-kata yang tersirat di dalam hatinya dan dia tahu bahawa aku dapat membaca tulisan hatinya.

Aku menjeling sekeliling, cuba menyembunyikan rasa malu yang tiba-tiba sahaja memerahkan pipiku. Pada ketika itu aku menyedari bahawa Laira bersendirian. Tidak ada orang lain bersamanya. Kesedaran itu menyentak benakku. Pandanganku beralih daripada wajah malam ke wajah Laira. Sebuah tanda tanya tersembunyi dalam renungan mataku.

"Laira, adakah kau datang bersendirian?" tanyaku.

Gadis itu tetap menyepi. Tetapi dia mengangguk perlahan, memberi sebuah jawapan menggemparkan diriku. Perjalanan dari Lembah Takaryan memakan masa selama dua hari dan dipenuhi segala macam kesukaran. Namun Laira telah mengharungi perjalanan yang rumit itu seorang diri, semata-mata kerana khuatir tentang diriku.

Tiba-tiba sahaja hatiku dicengkam perasaan yang menguntum warna-warna indah. Ruang dadaku terlalu sempit untuk menanggung perasaan gembira yang seolah-olah datang mencurah-curah daripada segenap penjuru diriku.

"Laira, kata-kata yang diluahkan oleh lidah dan bibir tidak cukup untuk merakamkan rasa terima kasihku kepadamu kerana sudi mengambil berat tentang diriku," kataku dengan suara yang lembut. Perlahan-lahan aku memecahkan kesepian yang telah sekian lama membendung kami. "Tetapi aku mahu engkau berjanji supaya jangan mengulangi perbuatan ini."

Aku cuba melembutkan kata-kataku dengan sebuah senyuman dan nada yang perlahan. Tetapi usahaku untuk menasihati Laira itu gagal. Bicaraku mengusik hatinya yang perasa. Aku cuma bertujuan melahirkan kerisauanku terhadap keselamatannya, tetapi dia tidak memahami tujuan di sebalik ucapanku. Sinar matanya menjadi malap buat seketika dan dia tidak mahu memandangku.

"Mengapa kau berkata demikian, Artakus? Bukankah aku gadis Armorikus? Bukankah hutan-hutan di Aurora ini menjadi tempat tinggalku? Aku tahu menjaga diriku," ujarnya dengan nada sayu. Dia menyangka aku tidak menghargai pengorbanannya.

"Benar, Laira. Tetapi kau harus mengerti bahawa aku juga risau tentang dirimu sepertimana kau risau tentang diriku. Mungkin lebih lagi." Aku mengatur kata dengan cermat dan berhati-hati. Hatiku tidak senang melihat Laira gundah. Aku mahu memujuknya.

Ternyata bicaraku mendatangkan kesan yang diharapkan. Laira mencuri jeling ke arahku dari sudut matanya. Bibit-bibit sekuntum senyuman yang indah mula menghiasi pinggir bibirnya yang manis. Ah! Lairaku!

"Benarkah demikian, Artakus?" Suaranya begitu lembut, mengaju persoalan yang menjadi rahsia besar hatiku. Dia seolah-olah tidak berani mengharapkan jawapan yang dipintanya dariku.

"Benar," sahutku sambil tersenyum. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyambar pintu hatinya yang tiba-tiba sahaja terbuka. "Aku selalu risau tentang dirimu."

"Selalu?" Laira bertanya seperti lazimnya seorang gadis lain bertanya.

"Selalu," jawabku tegas.

Dia tersenyum juga akhirnya dan hatiku turut gembira.

Pada ketika itu baru aku menyedari bahawa Laira tentunya letih kerana baru sahaja tiba dari perjalanan yang jauh. Aku mengambil tali kekang kudanya lalu menoleh ke arahnya. Dia memandang sahaja diriku tanpa berkata-kata. Keletihan mencemar kelembutan wajahnya, tetapi sinar matanya yang gemilang sudah cukup membuatkan hatiku senang.

"Laira, mari ku bawa kau ke tempat penginapan mu," kataku kepadanya. Dia mengangguk perlahan. Kami pun berjalan ke arah kota.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

cerita jarak dua hati

kalam mubalaroh

sebatian