Terima Kasih

Buat barisan hadapan Pandemik Covid-19

Tika takdir hadir
mengibar panji hanyir
ketumbukan perang
yang tiada zahir pada mata
tiada taksir pada rasa
menyentuh padah
disentuh parah
membujur lalu
melintang patah
menghembus bayu
keliru dan buntu
menghampar ribut
takut dan kusut
meragut segala
yang bebas dan merdeka
bernafas dan bernyawa
hingga si gagah perkasa
melutut dan meminta
tapi pastinya
badai dan angin duka
yang menyapa
menyingkap hakikat
bagai ditakwil syariat
musibah itu kembarnya rahmat
membongkar adiwira
yang tersembunyi
pada jasad yang serupa
dan sama
seperti aku, engkau
dia dan kita
yang bangkit menyambut cabar
berbekal hikmah dan sabar
pasrah dan sedar
beban sebesar bukit
korban bukan secubit
tapi tetap gagah melangkah
demi amanah
dan ummah
dan kerana itu
sewajarnya
dan sewajibnya aku
ucapkan terima kasih
kepada mu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

cerita jarak dua hati

kalam mubalaroh

sebatian