Udara di daerah mu

Di daerah mu di bawah bayu
udaranya masih sama
seiring nafas ku menarik
segala ada bersamanya turut sama tertarik
digerak bawah sedar dari ruang terbuka
dengan cermat menjengah ruang dada
lantas berulang rasa yang sama
yang telah lama tidak datang menyapa
menyiram rasa nyaman tika menyentuh dinding duka
dan menghampar rasa aman tika menyentuh ruang derita

Di daerah mu di bawah bayu
udaranya masih sama
seiring nafas ku menghambur
segala bersamanya turut sama kabur
dihambat bawah sedar  dari ruang terkurung
dengan tertib beredar dari ruang yang terlindung
rasa yang sama kembali datang mengunjung
menghalau resah yang bertandang tika nafas menghela berat
menghempas pedih yang menjulang tika nafas menghembus lambat

Di daerah mu di bawah bayu
setelah satu dasawarsa
aku sedari udaranya tidak sama
dengan udara yang ku nafas setiap hari
kerana udara di daerah mu
punya daya dan rasa
menjentik denyut nadi
menggamit akal bernyanyi
menjemput hati menari
menghidupkan separuh diriku
yang telah lama mati

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

cerita jarak dua hati

kalam mubalaroh

sebatian