Catatan

Tunjukkan catatan dari 2018

gejala

mungkin dapat ku sulam salam pada angin malam atau mungkin sahaja ku titip pesan pada wajah bulan atau mungkin juga bertanya khabar lewat embun di hujung daun atau tentu sahaja gejala rindu itu ku biarkan bersatu menjadi doa yang terbaik buat mu

cermin pandang belakang

setiap kali aku menoleh engkau pasti memperlihatkan masa silam yang tidak mampu ku alih dan sebetulnya aku wajar benar menukar pandangan biar benar jelas apa yang mendatang biar kau hadir dengan ingatan apa mungkin cermin pandang belakang selama-lamanya membawa ku terus dan terus ke hadapan

ribut

tolong jangan lemah pada ribut yang menjengah menghampar kabut menebar kalut biar tegar tegas berpaut pada akar pada rumput atau apa-apa sahaja yang bertaut tunggu sahaja kuatnya luput nafasnya semput pasti boleh sahaja berdiri semula seperti biasa

jangan serik

jangan serik untuk baik pada fikir pada jiwa pada taksir pada rasa pada tutur pada kias pada postur pada rias pada riak pada diri pada khalayak dan jangan serik kerana baik itu rapuh kekal baik itu jauh

sebatian

hipotesisnya engkau, aku dan cinta hanya interaksi secara teori sebatian dua hidrogen berpaut pada satu oksigen menyatu dan bersatu dan kerana itu terkesan benar kepada suhu boleh sahaja tiba-tiba mendidih menjadi wap yang panas dan pedih boleh sahaja tiba-tiba dingin dan beku menjadi keras dan kaku dan tentu sahaja teras sabar kembali bubar menjadi unsur alami yang suci dan segar

terima kasih kawan

terima kasih atas ucapan biar kecil tidak terbatas pada kata-kata biar kerdil tapi segar dan tuntas pada jiwa terima kasih sekali lagi kawan atas ucapan yang menzahirkan ingatan dan terima kasih pada ungkapan yang mempamerkan ihsan

kalam mubalaroh

teringat-ingat pesan tok wan tentang kalam yang dilantun dari lisan seorang perempuan  yang mempunyai dua tudung yang dilontar tanpa rawan kepada panglima agung aku dengar dengan dua telinga ku akan datang dari daerah mu seorang pemimpin yang penipu dan zalim perilaku dan hari ini aku menjadi saksi peristiwa itu dan kalam ini  biar betul-betul bersemayam dalam hati mu yang kelam tika kau bangga merosakkan dunia   orang yang kau zalimi kau juga berjaya  merosakkan akhirat mu yang kekal abadi  

pilihan

terima kasih kerana memilih menguntum senyum menyebar rasa manis dan harum juga memilih menutur santun menebar citra damai dan rukun secara percuma pada ribut yang menyapa di luar jendela

doa

doa itu ku susun penuh rukun ku lantun penuh santun ku pohon penuh harap ku ratap penuh adab lewat embun yang berhimpun di rimbun daun bulat yakin dan tekad didengar dan diangkat agar dikurnia kebaikan dan beroleh keselamatan dunia dan akhirat dan tak lupa untuk meminta sebaik dari umur tika penghujungnya sebaik dari amal tika penutupnya sebaik hari yang dilalui tika bertemu ilahi hanya doa itu dan hanya itu yang ku mampu hadiahkan pada mu ketika ini

lima kupang

besarnya sekeping lima kupang pada pelupuk mata menghadang segala yang terbentang menghijab setiap yang nyata kecilnya sekeping lima kupang pada  pelupuk mata bagi yang mengerti makna sementara bagi yang memahami hakikat pengembara

paksakan sahaja senyum itu

dalam duka paksa kan saja senyumnya biar lebar biar besar senyum itu pasti tersebar ke pelusuk sanubari dan setiap denyut nadi sebelum sempat menaakul nisbah mantik dan mengisbat-isbat logik dan lebarkan saja  dahulu senyumnya biar sampai ke telinga biar sampai kecil bola mata akan pasti tersenyum-senyum di hati dan bernyanyi-nyanyi di minda

hikmah

tiap kali dijenguk sang musibah yang datang berkampung pasti ditemani sang hikmah yang turut sama berkunjung umpama bintang-bintang yang bertandang memberi salam hanya pada malam yang pekat dan hitam  

kongsi rasa

tiap rasa yang dibiar mengalir dari kotak fikir ke ruang zahir memindahkan juga hak mutlak sang pemunya kepada ehsan para khalayak

senyuman yang indah

Kau... tak pernah tewas membuat aku lemas dengan mudah tanpa susah tanpa payah bila kau mengukir dan menzahir sekuntum senyuman di bibir yang indah pada pandangan juga aman pada perasaan tak perlu dibelek berlebihan sedang molek dalam sukatan tidak pula kurang dalam timbangan dan aku... tanpa gagal untuk tewas dalam sedar ingin lemas tanpa sedikit rasa susah tanpa secalit rasa lelah menikmati senyuman yang cukup indah