Catatan

Terima Kasih

Buat barisan hadapan Pandemik Covid-19 Tika takdir hadir mengibar panji hanyir ketumbukan perang yang tiada zahir pada mata tiada taksir pada rasa menyentuh padah disentuh parah membujur lalu melintang patah menghembus bayu keliru dan buntu menghampar ribut takut dan kusut meragut segala yang bebas dan merdeka bernafas dan bernyawa hingga si gagah perkasa melutut dan meminta tapi pastinya badai dan angin duka yang menyapa menyingkap hakikat bagai ditakwil syariat musibah itu kembarnya rahmat membongkar adiwira yang tersembunyi pada jasad yang serupa dan sama seperti aku, engkau dia dan kita yang bangkit menyambut cabar berbekal hikmah dan sabar pasrah dan sedar beban sebesar bukit korban bukan secubit tapi tetap gagah melangkah demi amanah dan ummah dan kerana itu sewajarnya dan sewajibnya aku ucapkan terima kasih kepada mu.

gejala

mungkin dapat ku sulam salam pada angin malam atau mungkin sahaja ku titip pesan pada wajah bulan atau mungkin juga bertanya khabar lewat embun di hujung daun atau tentu sahaja gejala rindu itu ku biarkan bersatu menjadi doa yang terbaik buat mu

cermin pandang belakang

setiap kali aku menoleh engkau pasti memperlihatkan masa silam yang tidak mampu ku alih dan sebetulnya aku wajar benar menukar pandangan biar benar jelas apa yang mendatang biar kau hadir dengan ingatan apa mungkin cermin pandang belakang selama-lamanya membawa ku terus dan terus ke hadapan

ribut

tolong jangan lemah pada ribut yang menjengah menghampar kabut menebar kalut biar tegar tegas berpaut pada akar pada rumput atau apa-apa sahaja yang bertaut tunggu sahaja kuatnya luput nafasnya semput pasti boleh sahaja berdiri semula seperti biasa

jangan serik

jangan serik untuk baik pada fikir pada jiwa pada taksir pada rasa pada tutur pada kias pada postur pada rias pada riak pada diri pada khalayak dan jangan serik kerana baik itu rapuh kekal baik itu jauh

sebatian

hipotesisnya engkau, aku dan cinta hanya interaksi secara teori sebatian dua hidrogen berpaut pada satu oksigen menyatu dan bersatu dan kerana itu terkesan benar kepada suhu boleh sahaja tiba-tiba mendidih menjadi wap yang panas dan pedih boleh sahaja tiba-tiba dingin dan beku menjadi keras dan kaku dan tentu sahaja teras sabar kembali bubar menjadi unsur alami yang suci dan segar

terima kasih kawan

terima kasih atas ucapan biar kecil tidak terbatas pada kata-kata biar kerdil tapi segar dan tuntas pada jiwa terima kasih sekali lagi kawan atas ucapan yang menzahirkan ingatan dan terima kasih pada ungkapan yang mempamerkan ihsan